Selamat Datang. Mari berkongsi idea dan menambah pengetahuan berkenaan seni tanaman hiasan. Semoga blog ini dapat membantu anda dan memberikan seribu satu maklumat.............

Saturday, April 26, 2014

Pokok Tekoma

Kuntuman mekar 2 minggu

Bagaikan berada di Korea menikmati keindahan ‘Cherry Blossom’ atau Sakura di Jepun pada musim bunga.
Begitulah panorama mengagumkan melanda beberapa negeri antaranya Putrajaya, Batu Pahat, Johor dan Alor Setar, Kedah yang menerima tempias fenomena musim bunga sejak akhir bulan lalu.
Menakjubkan. Itulah hakikatnya yang menimbulkan 1,001 keterujaan bukan saja dalam kalangan rakyat tempatan, malah pelancong dari luar negara yang berkunjung ke negeri itu.

Mereka seperti tidak percaya Malaysia turut mengalami musim bunga penuh warna-warni seperti di Eropah, Jepun dan Korea.
Foto
KEINDAHAN turut terserlah pada karakter bunga tekoma ini.

Dek fenomena luar biasa hasil daripada limpahan pokok tekoma berbunga lebat yang jarang-jarang berlaku di Kedah, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang merakamkan detik indah untuk simpanan peribadi dan tatapan sahabat handai.

Malah, rakaman indah berlatar belakang pokok tecoma itu dimuatkan di pelbagai laman sosial termasuk di Facebook dan Instagram.

Namun tempoh musim bunga itu amat singkat sekitar dua minggu saja dan kini memasuki fasa terakhir apabila kebanyakan bunga sudah berguguran.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad mengakui fenomena dianggap luar biasa yang melanda negeri ini termasuk bandar raya Alor Setar dalam tempoh dua minggu itu berlaku selepas Kedah melalui fasa kemarau dan kering yang panjang.

Beliau berkata, pokok tekoma dengan bunga berwarna merah jambu dan putih yang ditanam di beberapa kawasan di sekitar Alor Setar adalah sejenis spesies pokok hutan yang mengeluarkan bunga setiap tahun.

“Namun berbeza tahun ini apabila pokok tekoma menerima tempias musim kering dan kemarau yang begitu ketara sebelum mengeluarkan bunganya yang lebat.

“Selepas dilanda musim kemarau panjang lebih tiga bulan, hujan lebat membantu menghasilkan bunga tecoma yang banyak seperti ini.

“Di Alor Setar saja lebih 300 pokok tekoma ditanam sejak 15 tahun lalu, ada juga baru ditanam tiga atau empat tahun lalu. Kebiasaannya pokok ini akan matang dan mengeluarkan bunga selepas berusia empat hingga lima tahun,” 
katanya.

Mat Noh berkata, bagi perancangan jangka panjang pihaknya melihat keindahan musim bunga ini boleh dijadikan salah satu tarikan baru di bandar raya ini.

Mereka akan berbincang dengan beberapa jabatan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian untuk mencari kaedah pembajaan yang mungkin sesuai bagi pokok itu bertahan lama sekurang-kurangnya sebulan.

“Setakat ini bunga pokok tekoma hanya mampu bertahan kira-kira dua minggu sebelum berguguran tetapi jika ada kaedah yang membantu mengekalkan bunga itu sehingga sebulan, ia boleh dijadikan tarikan pelancongan di Alor Setar dan negeri ini.

“Buat masa ini kita merancang menambah jumlah pokok tekoma di tepi jalan utama sekitar bandar raya ini dan Taman Jubli Emas, Suka Menanti.

“Kita berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, Taman Jubli Emas mampu menjadi tarikan pengunjung terutama pada musim bunga itu,” katanya.

Selain menghiasi jalan utama di bandar raya ini termasuk di Jalan Lang­gar, Jalan Gangsa, Jalan Anak Bukit dan Jalan Kuala Kedah, keindahan pokok bunga ini turut menceriakan beberapa kawasan lain seperti Jalan Batas Paip menuju Yan, Pendang dan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

Penduduk tempatan, Nur Syazana Ismail, 21, turut berkongsi pengalaman indah itu dengan rakan-rakannya yang berada di luar Alor Setar menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, walaupun sebelum ini dia biasa melihat pokok itu berbunga, keadaan kali ini luar biasa berbanding sebelumnya.

“Sebelum ini saya tengok biasa saja, tetapi tahun ini bunganya amat lebat dan semua orang memuat naik saat indah mereka di Facebook, jadi sebagai anak Kedah saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan kenangan indah ini untuk simpanan peribadi dan tatapan rakan-rakan,” katanya.

Pelajar Antarabangsa dari Somaliland yang kini menuntut di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Mohamed Amin Ali Mohamed, 23, berkata, fenomena ini sungguh mengagumkan dan suasana bunga berguguran ke bumi bagaikan hamparan permaidani yang cukup indah dan mendamaikan.

Katanya, ini adalah kali pertama dia berpeluang melihat musim bunga melanda negeri ini dan ia amat menenangkan jiwa.

“Saya gembira melihat keindahan bunga ini yang berwarna merah jambu dan putih yang cukup cantik dan mewujudkan suasana mendamaikan bagai berada di luar negara seperti Korea dan Jepun,” katanya.


Bunga menarik berona unik

Pokok teduhan yang tergolong dalam keluarga Bignoniaceae turut digelar sakura Malaysia selain nama saintifik­nya Tabebuia Rosea atau Pentaphylla.

Ia dikatakan berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan.

Ia menghasilkan bu­nga menarik dalam rona yang unik khususnya merah jambu dan putih serta menzahirkan pemandangan indah.

Di negara ini, ia dikenali sebagai pokok cherry blossom kerana bu­nganya lebat seolah-olah bunga sakura Jepun yang mekar pada musim bunga.

Nama spesies pentaphylla dalam bahasa Latin merujuk kepada lima jejari daunnya di mana ‘penta’ bermaksud lima dan ‘phylla’ bermaksud daun.

Ada yang menggelarkannya pokok kertas tisu kerana ranggi bu­nganya yang nipis. Tidak kurang juga yang menamakannya sebagai pink poui, rosy trumpet tree dan pink tecoma.

Tabebuia memerlukan musim kering atau panas ketara sebelum me­ngeluarkan bunga yang lebat. Justeru, fenomena baru yang melanda landskap negara turut dikaitkan dengan musim berkenaan.

Mempunyai lebih kurang 50 spesies, tanaman ini dibezakan menerusi warna dan bentuk bunganya.

Kehadiran pokok teduhan di sepanjang jalan dan taman dilihat penting dalam mencipta idea penggayaan landskap luar biasa.

Langkah itu bukan sekadar menawarkan pemandangan indah, malah melengkapkan usaha menghijaukan persekitaran.

Pokok teduhan apabila tumbuh subur mempunyai karakter dan bentuk tersendiri.
Menariknya, pokok ini menjadi pendingin pasif untuk persekitaran dan kediaman. Pada masa sama ia berupaya menyerap bunyi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

3 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya ada jual anak pokok tecoma pink dan putih. Harga sekarang rm15 dan rm20. Ketinggian lebih kurg 2kaki.Harga akan meningkat ikut saiz anak pokok.Lokasi kami di Sungai Besar Selangor. Berminat sila wasap saya 01115545971 (RJ)

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. salam,boleh wasap saya di 01135500709 (RJ)
      FB :TANAH HITAM UNTUK TANAMAN
      FB PAGE : JG&N LANDSCAPE TREE

      Delete